Jumaat, 17 Jun 2005

SURAT

Surat dariku untukmu yang disayangi selalu...

Sebelum aku meneruskan butir bicara yang panjang berjela, ampun dan maaf aku pohon darimu. Tujuan surat ini ditulis bukan untuk menyakiti hatimu. Tiada apa yang aku pinta cuma fahamilah apa yang aku cuba sampaikan..
Tujuan sebenar surat ini ditulis adalah untuk lebih memahami hati dan perasaanmu, sahabatku. Aku tahu betapa kau dambakan kasih sayang darinya. Aku juga amat memahami perasaanmu ketika ini. Tapi kenapa mesti pengakhiran sebegitu yang kau buat? Kenapa kau begitu berdendam terhadap dia? Adakah kau sudah benar2 mendalami hati dan perasaan dia? Mengapa kau tidak mahu bertanya atau berterus-terang sahaja apa yang kau rasa selama ini? Kenapa kau biarkan pandangan itu mengabui matamu. Adakah jawapan yang kau perolehi itu adalah jawapan yang pasti atau itulah jawapan kau sendiri cipta?

Sekali lagi jika surat ini membuatkan kau marah atau membenci aku sehingga boleh merosakkan hubungan mesra kita, maafkanla aku. Jika kerana inilah takdirya, aku pasrah.

Kau tentu ingat akan nasihatku jika perkara buruk yang kita lakukan, balasannya mungkin tidak berlaku pada diri kita tapi mungkin ke atas anak2 atau cucu cicit kita. Fikirkanlah dengan sedalamnya berapa lama hayat yang kita ada untuk menebus dosa lampau. Fikirkan juga hayat dia yang juga belum tentu panjangnya. Setiap perkara yang berlaku ke atas diri kita ada sebab dan hikmah dariNya, ayat itu juga pernah ku dengar dari mulutmu sendiri. Aku pegang jadi azimat dalam hidup ini. Kata2 nasihat dan sokongan darimu amat aku hargai sehinggakan aku rasa aku tiada sahabat lain yang sebaik dirimu. Malah aku amat menghargai kehadiran kau sebagai sahabat yang sentiasa di sisiku

Terlalu banyak persoalan yang ingin ku ajukan padamu tapi lidah ini kelu kerana sudah pastinya kau akan memarahi aku. Aku tahu betapa kerasnya hatimu itu.

Hmmm...kenapa terlalu berat rasanya untuk aku menulis surat ini? Aku rasa seolah2 aku sedang menghunus pedang yang terlalu tajam sehingga menusuk ke tulang hitammu. Semoga hatimu akan terbuka untuk menerima dia. Masih belum terlambat untuk kau melakukannya. Janganlah kau merasa jijik tapi bersyukurlah kerana perlakuan dialah kau menemui cinta yang tak pernah kering dan kerana dialah kau kini menjadi insan yang lebih baik. Berterima kasih padanya bukan kerana budi yang telah dicurah tapi cukup sekadar mengenang disebabkan dirinya yang tak pernah wujud dalam hidupmu telah menjadikan kau lebih matang kini.
Aku tahu malah memahami ianya sukar tapi kerana kesukaran itulah yang menjadikan kita seorang pemenang untuk setiap acara hidup. Jika kalah sekalipun kita tetap seorang pemenang kerana jika kita sentiasa sabar, tenang dan matang dalam membuat keputusan hidup yang sukar. Aku akur dengan keputusanmu kerana amat memahami hati dan perasaanmu ketika ini. Aku tahu kau pastinya mempersoalkan mengapa surat ini harus ku tulis jika sekiranya aku sendiri maklum malah memahami dirimu. Entahlah..aku sebenarnya ingin kau lebih memahami dengan jelas maksudku dan pendapatku melalui surat ini.

Tolonglah, berjanji padaku bahawa kita tetap sahabat sehingga akhir hayat. Ampunilah aku jika surat ini membuat kau membenci aku terus.

Sesungguhnya aku sedar betapa aku juga punya kelemahan dan kekurangan yang banyak.
Entahlah..aku rasa amat payah sekarang. Surat sudah ditulis tapi kenapa..kenapa aku biarkan ia berlalu? Di kala inilah terlalu banyak persoalan yang aku fikirkan.

Keputusan telah aku buat. Surat ini akan terus tersimpan di sini.

Buat sahabatku tersayang, semoga kau terus mengecap nikmat kebahagian yang berkekalan. Itu doaku.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails